Putri,
Berpuluh kali saya bertanya diri sendiri, bagaimanakah harus saya
mulakan coretan ini?berpuluh kali juga saya fikirkan kewajaran
meluahkan kisah yang peribadi sifatnya ke halaman umum? tetapi atas
rasa penuh tanggungjawab dan hasrat yang murni, saya mengutuskan relung
relung manis dan pahit yang pernah saya lalui.
Putri, sebelum ini saya tidak pernah mempercayai begitu hebat keajaiban
cinta pertama hingga tidak mampu terpadam di layar kenangan. tetapi
kini saya akur, lelaki pertama yang menyapa di pintu hati saya tidak
pernah terpadam wajahnya sampai bila-bila. Sejak tahun pertama di
universiti lagi kami berdua memang rapat, selalu berkongsi masalah dan selalu
menjadi pendengar setia tatkala berbicara. dia mendengar dengan penuh rasa
dan selalunya masalah terbeban itu usai apabila dia berbicara. Perasaan antara
kami tumbuh tanpa dipaksa, tanpa wang ringgit atau harta benda.
Pengalaman membonceng motosikal kapcai buruk miliknya sangat manis dan
dan tidak pernah dilupa. Dia berasal dari keluarga miskin di kampung pedalaman.
Dia selalunya menolak untuk menumpang kereta yang keluarga bagi kepada saya
semasa di universiti. maka kami selalu menunggang kapcai dan selalu menjamu
selera di kaki lima.
Selepas keluar universiti, saya mendapat keputusan yang agak baik. dia
mendapat keputusan yang lebih rendah. Dengan bantuan keluarga saya yang
agak dikenali, saya mendapat kerja di sebuah agensi pengiklanan dengan
jawatan yang agak baik. Tetapi dia terus menganggur di Kuala Lumpur.
Kasihan, diskriminasi di mana-mana.
Selepas bosan memohon pekerjaan, dia memilih untuk menjadi kelasi
kapal, satu pekerjaan yang tidak ada kaitan dengan jurusannya semasa di
universiti. Saya membantah kerana kami akan berjauhan dalam jangka masa
yang agak panjang. tetapi menatap wajahnya yang penuh yakin dengan
pilihannya dan berjanji akan kembali kepada saya, terpaksalah saya
relakan. Ketika itu tahun 1992. Kemiskinan membuat dia terpaksa
merantau menjadi kelasi kapal. Dan nasibnya tidak sebaik saya yang
mendapat pekerjaan yang baik.
Selepas setahun di perantauan, dia tidak lagi mengutuskan poskad atau
surat kepada saya di Kuala Lumpur. Kerana hidupnya diatas kapal dan
sesekali singgah di daratan, saya tidak boleh mengutuskan surat untuk
bertanya khabar sekali pun rindu hanya Tuhan saja yang tahu. Kali
terakhir saya menerima poskad yang di poskan dari Cape Town, Afrika
Selatan. Dalam poskad itu dia menulis, "Rindu kepada mu tidak pernah
terkubur - Chairil."
Putri, sebagai perempuan saya tidak banyak kuasa untuk menentukan
hidup. Sekalipun keluarga saya hidup moden di Kuala Lumpur tetapi saya
anak yang tidak pandai membantah, jauh lagi menyakiti hati kedua ibu
dan ayah. Apabila usia menginjak 26 tahun, ayah bertanya adakah sesiapa
dihati saya? saya kata ada. Ayah tanya siapa?dan saya kata dia kelasi
kapal. Ayah terdiam dan akhirnya ayah memberitahu keluarga mahu
menjodohkan saya dengan lelaki pilihan mereka. Ayah tidak memaksa
tetapi saya tidak tergamak untuk melukakan hati ayah. Saya pula tidak
mendapat kepastian dari buah hati yang entah singgah di perlabuhan
mana. saya menerima pilihan ayah dan cuba realistik terhadap kehidupan.
Berkeras untuk memadamkan semua kenangan cinta pertama dengan kelasi
kapal. Tetapi semuanya tidak mampu dilakukan, layar kenangan selalu
mengingatkan seorang lelaki yang tidak pernah melukakan hati saya dan
tidak tergamak pula melukakan hatinya.
Seminggu sebelum perkahwinan saya dengan lelaki pilihan keluarga, saya
hampir pengsan dan gementar teramat sangat apabila menerima sekeping
poskad. Poskad yang lama ini saya tunggu tetapi bukan ketika hampir
melangkah menjadi seorang isteri. Dia akan balik ke Malaysia dan
berhasrat untuk bertemu keluarga bagi menyunting saya.
Dua hari sebelum persandingan saya, kami berjumpa. Saya hilang
kata-kata dan air mata tumpah tanpa henti. Saya tidak mampu memberitahu
keadaan sebenar tetapi dia seperti tahu segalanya apabila melihat inai
dan cincin pertunangan di jari saya. Tatkala menghantar saya ke kereta,
dia ternampak gaun pengantin berwarna kuning air, dia tersenyum tetapi
sumbing. Petang itu dari cermin kereta saya melihat dia menghantar saya
dengan pandangannya hingga kami dipisahkan oleh selekoh tajam. Saya
tahu dia teramat sedih dan terluka, tetapi apakan daya saya.
Kini sudah lebih sepuluh tahun peristiwa itu berlalu dan saya
dikurniakan seorang suami yang baik dan dua orang puteri yang comel.
Perkahwinan kami bahagia cuma sehingga kini saya tidak dapat memadamkan
kenangan teringat bersama dia. Selepas saya berkahwin dia kembali
menjadi kelasi kapal dan sekarang ini tidak tahu berada dimana. Cuma
setiap kali harijadi saya,pasti dia mengutuskan poskad dari perlabuhan
yang disinggahinya. Apabila menyusuri perut kota raya Kuala Lumpur,
kenangan bersama Chairil terus basah dalam ingatan.
Putri, apakah yang harus saya lakukan untuk memadam desir kenangan
cinta pertama yang terus menghantui saya? Saya takut untuk mengaku
bahawa cinta pertama saya terus menyala kepadanya...
-Suzana, Kuala Lumpur.
Suzana,
Puan telah merentasi satu fragmen hidup yang berwarna warni.
Ada musim yang dipenuhi ilusi cinta dan kemudian menerima realiti dalam
rumahtangga. Nasihat putri, janganterlalu rasa bersalah diatas pilihan
yang di buat dengan fikiran waras. Puan tidak bersalah kepada Chairil
sekalipun cinta terpaksa beralih arah. Kata orang, hidup bukan sperti
pelangi yang indah tetapi sekadar ilusi. Hidup adalah realiti dan
realiti puan sekarang adalah seorang isteri dan ibu kepada puteri
puteri puan. Puan dianugerahkan rumahtangga yang aman bahagia. Memang
desir kenangan cinta pertama selalunya sukar untuk dilupakan.
Bersyukurlah kerana mempunyai kenangan yang terindah. Puan, hidup kita
bukan seperti drama yang sudah diketahui penghujungnya.
-mingguan malaysia, 25 mei 2008
No comments:
Post a Comment